Udang, ikan ‘datang bergolek’
Oleh Ikhwan Muhammad
2011/06/10
PENDUDUK yang mencuba nasib memukat udang di pantai Kampung Sungai Mengkuang, Endau, baru-baru ini.
Hidupan laut naik pesisir pantai Sungai Mengkuang beberapa hari dalam setahun
MERSING: Penduduk Mukim Endau di sini ibarat mendapat durian runtuh apabila kawasan pesisir pantai Kampung Sungai Mengkuang, Teriang, dan Teluk Sisek, dipenuhi udang harimau dan kertas serta ikan bawal putih sejak awal minggu ini.
Peluang meraih rezeki yang ibarat datang bergolek itu tidak dilepaskan oleh penduduk dan juga orang ramai dengan memasang jaring dan menggunakan pukat tarik untuk menangkap hidupan laut berkenaan.
Malah, berita itu turut tersebar ke luar kawasan hingga ke Muadzam, Pahang, menyebabkan ramai yang datang untuk mencuba nasib memukat hidupan laut berkenaan, sekali gus berpeluang menikmati udang dan ikan segar.
Tinjauan ke Pantai Sungai Mengkuang mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang meraih rezeki itu walaupun dalam keadaan panas terik, terutama untuk menangkap udang yang dikatakan naik ke pesisir pantai hanya selama beberapa hari dalam setahun.
Peneroka dari FELDA Bukit Waha, Kota Tinggi, Mohd Nor Alwi, 56, yang mendapat khabar berkenaan daripada saudara maranya di Kampung Sungai Bebuta di sini, bergegas datang bersama isteri untuk memukat udang itu.
“Ternyata kedatangan saya berbaloi apabila baru sehari memukat, saya sudah mendapat lebih 10 kilogram (kg) udang yang boleh dijual dengan harga antara RM10 hingga RM15 sekilo mengikut saiz dan gred,” katanya.
Beliau yang ditemani isteri, Hamimah Mohd Amin, 53, meluangkan masa selama dua hari untuk memenuhi sebuah tong ikan gentian kaca yang dimuatkan dalam but keretanya dan hasil tangkapan itu akan dijual kepada peneroka di Felda Bukit Waha.
“Memandangkan kesegaran udang yang baru ditangkap dengan harga lebih murah berbanding di pasar, tentu hasil tangkapan ini laris seperti pisang goreng panas,” katanya.
"Dipetik dari Berita Harian online"