Sunday, 30 June 2013

Memburu tenggiri Sedili - Hari Kedua

Nampaknya Tekong begitu menepati masa. Tepat jam 4 pagi enjin dihidupkan dan bot mula bergerak ke destinasi unjam seterusnya. Perjalanan 2 jam tak terasa kerana rata2 masih lagi lena dibuai ombak. Lebih kurang jam 6:15 pagi, kami tiba di unjam untuk mencari umpan selar. Bila cahaya matahari mula terbit di ufuk timur, kami terus menurunkan apollo. Begitu banyak ikan umpan pagi ini untuk bekalan pancingan kami nanti. Kelihatan beberapa buah bot telah berada di lokasi yang sama untuk memburu tenggiri.

Seterusnya kami pun mula menurunkan umpan hidup dengan harapan tenggiri telah keluar mencari makan. Sofaz menghulurkan koyan berumpankan selar besar. Tak sampai 10 minit, umpannya telah disambar. Dengan cekap dan pantas, Sofaz menggulung tali koyannya dan akhirnya seekor tenggiri berskala 6kg ditewaskannya. Aku agak terkejut menyaksikan betapa cekapnya dia menggulung tali koyan tanpa memakai gloves. Kalau aku lah, mungkin dah habis luka2 tapak tangan menahan tarikan ikan.

Pagi ini masa ikan tenggiri frenzy agak singkat. Team kami juga mendapat double strike di mana umpan Rizal dan Mat Zain disambar serentak. Kelam kabut sekejap keadaan di atas bot. Rakan2 lain menggulung tali untuk memberi laluan kepada rakan lain menaikkan ikan.



Zul membantu Rizal membuka mata kail di mulut tenggiri
Lebih kurang jam 12:30 tengahari kami bergerak pulang ke jeti. Trip kali ini boleh dikatakan berjaya dengan hasil 13 ekor tenggiri, 1 ekor aruan tasik, 4 ekor todak, 2 ekor belitung dan ikan2 apollo.

Inilah tenggiri terbesar trip kali ini - hasil pancingan aku

Masing2 gembira dengan hasil tangkapan kali ini
Sesi mengagihkan hasil tangkapan
Tugasan paling berat - memotong aruan tasik untuk di bahagi 7

Aruan tasik masak tiga rasa, terbaek!!
Keseronokan menewaskan tenggiri memanggil2 kami untuk kembali ke Sedili. Insya-Allah ada rezeki kami akan ke sana lagi nanti.

Memburu tenggiri Sedili - Hari Pertama

Ketua team pancing aku iaitu Rizal dah booking date memancing di Sedili 15 & 16 Jun 2013 sejak tahun lepas lagi. Maklum la, bukan mudah dapat tarikh yang sesuai dan masih kosong memandangkan tahap populariti tekong tenggiri ni yang mengalahkan Anuar Zain....hehehe...
Selepas Jumaat, aku memulakan perjalanan ke Sedili dan singgah sebentar di Batu Pahat untuk menyelesaikan sedikit urusan. Aku ikut hiway ke Desaru, mungkin agak jauh. Kira-kira jam 9:30 malam kami sampai di pekan Sedili Besar. Rakan2 pemancing yang lain telah tiba lebih awal dan menunggu aku di kedai makan. Kali ini Rizal, ketua kumpulan telah menyewa sebuah rumah homestay berhampiran dengan jeti. Rumah tersebut agak selesa untuk kami bertujuh dengan 2 bilik tidur dan peralatan yang lengkap.

Malam itu kami berkenalan sesama sendiri memandangkan ada beberapa ahli yang baru join group kami. Aku layan berbual dengan Abg Berahim sampai ke pukul 3 pagi. Pukul 3:30 pagi aku dah bersiap mandi dan terdengar tekong menelefon Rizal untuk memberitahu supaya bersedia ke jeti pukul 4 pagi. Memang aku tak tidur langsung malam tu memandangkan betapa tak sabarnya aku untuk memancing di Sedili.

Seawal 4:30 pagi kami sudah memunggah barang-barang memasuki bot. Tanpa menunggu lama, kami memulakan perjalanan ke unjam pertama yang mengambil masa kira-kira 2 jam.


Aku berbual dengan Hj Hafizan, bekas Director aku semasa di Samsung

Setibanya di unjam, awak2 kami iaitu Sofaz dengan pantas menghulurkan koyan bermata apollo untuk mencari ikan untuk dibuat umpan. Kami juga mengeluarkan joran masing2 dan bersedia untuk memancing tenggiri. Ada juga yang membantu awak2 mencari ikan seperti selar, tamban untuk dijadikan umpan hidup. Di sini tenggiri amat menggilai ikan hidup seperti selar, tamban dan ikan termenung. Setelah mengumpulkan ikan hidup yang agak cukup untuk pancingan hari itu, tekong pun bergerak mencari lokasi yang sesuai untuk memburu tenggiri.

Tanpa berlengah lagi, semua bertumpu di ruangan belakang bot dan melepaskan umpan dengan kaedah pancingan dasar dan juga layang. Lebih kurang 15 minit menunggu, tiba-tiba terdengar bunyi nyaring drag dari kekili Penn klasik milik Hj Hafizan. Dengan pantas, Tuan Haji menyentap kuat jorannya dan bertahan. Tenggiri sudah menyerang rupanya!


Sesi pertarungan yang memerlukan bantuan rakan2

Tenggiri pertama tewas di tangan Tuan Haji berskala 2~3 kg

Sofaz yang cekap membantu
Tidak lama selepas itu, joran Rizal pula menerima sambaran sang tenggiri. Bertungkus lumus Rizal berusaha menawan tenggiri tersebut. Akhirnya tenggiri berskala 2 kg menyerah kalah. Sedang aku leka memerhatikan hasil yang diperolehi Rizal, tiba-tiba kekili Ryobi Oasis 7000 yang selalu menemaniku berbunyi nyaring. Tali keluar dengan pantas tanda dilarikan. Tekong berteriak "Kasar tu, bang!" Aku terus menyentap joran sekaligus mengikat kekili untuk menghentikan tali daripada terus keluar. Tetapi tali dari kekili terus keluar. Aku mengetatkan lagi kekili supaya tali berhenti keluar dan ternyata rupanya tenggiri yang menyambar umpan selar itu begitu kuat memberikan tentangan. Mujurlah aku dapat menewaskan sang tenggiri berskala 10 kg, iaitu tangkapan terbesar setakat ini. Pada hari yang sama, Haji Hafizan mendapat 2 ekor lagi tenggiri, Rizal menambah rekod peribadi seekor lagi, manakala Mat Zain, Zul, dan Sofaz masing2 menambah seekor tenggiri lagi. Jumlah tangkapan tenggiri hari pertama adalah 9 ekor. Setengah ekor tenggiri menjadi menu asam pedas & goreng kunyit untuk makan tengahari kami manakala setengah ekor lagi dimasak lemak cili api untuk makan malam kami.
Aksiku melayan tenggiri Sedili

Selain tenggiri, kami juga berjaya menaikkan belitung, todak dan aruan tasik. Zain kami gelar sebagai Raja Todak untuk trip kali ini kerana todak begitu gemar menyambar umpannya.


Zain  bersama tangkapan todaknya
Selepas makan tengahari, joran Mat Zain yang menggunakan teknik pancingan dasar disambar. Mat Zain terus menyentap kuat jorannya dan cuba bertahan. Aku perhatikan Mat Zain agak payah untuk mengawal larian ikan tersebut. Setelah beberapa ketika, Mat Zain meminta aku untuk menyambung pertarungan. Mula2 aku sangkakan ikan itu telah melarikan diri ke bawah bot dan mungkin tiada harapan untuk ia dinaikkan. Tapi rupanya rezeki berpihak pada kami. Tali mainline sebenarnya tersangkut pada tepi bot dan berjaya aku lepaskan. Aku mula menahan asakan ikan yang masih belum kelihatan lagi. Masing2 tertanya2 apakah ikan yang tersangkut di hujung mata pancing ini. Begitu kuat lariannya hingga sukar untuk ditewaskan. Aku bertahan dan mengepam kekili supaya ikan itu lemah. Akhirnya ia kelihatan timbul di permukaan. Aku menjerit "Aruan Tasik!" Memandangkan saiznya yang begitu besar, ia masih lagi kuat dan cuba untuk menyelam ke dasar. Aku terus bertahan dan akhirnya setelah hampir 45 minit bertarung, aruan tasik berskala 8 kg berjaya dinaikkan.


Ikan yang telah timbul menampakkan diri

Tekong yang bersedia dengan hook untuk menaikkan ikan


Ini lah aruan tasik yang dapat ditewaskan
Malam itu kami cuba mencari sotong untuk dijadikan umpan tapi malangnya tiada seekor sotong pun yang timbul. Menurut tekong, seminggu sebelum ini memang banyak sotong yang berjaya dicandat oleh group lain. Mungkin tiada rezeki kami untuk memancing malam itu memandangkan ketiadaan umpan. Bekalan umpan hidup juga telah habis. Biasanya kami boleh membeli udang hidup di pekan Sedili tapi malangnya pengusaha bisnes udang hidup telah menamatkan perniagaannya.

Akhirnya, seawal 9 malam masing2 mula mencari lokasi yang sesuai untuk merebahkan badan dan merehatkan diri. Tekong berpesan untuk bersedia ke lokasi unjam seawal jam 4 pagi esoknya.

Wednesday, 19 June 2013

Cerita baru

Dah berbulan rupanya aku tak update blog ni. Bukannya aku dah tak memancing, cuma tak berkesempatan bercerita kat sini. Rasanya tahun ni aku belum lagi dapat memancing di favourite spot aku iaitu Sungai Timun. Bukannya aku tak plan untuk pergi tapi terpaksa ditangguhkan buat masa ini. Inilah akibat perbuatan manusia yang tamak dan tidak bertanggungjawab. 2 kali Sg Timun diracun tahun ni, katanya untuk cepat mengaut hasil udang galah. Kesannya habis udang galah dan ikan di Sg Timun mati. Nelayan-nelayan sungai pun ramai yang dah bekerja di darat. Ada yang dah bawa lori, ada yang dah jual pukat, ada juga yang dah jual bot. Bak kata Pak Akub orang tua Kg Sg Timun, manusia lagi jahat dari buaya di Sg Timun....betul lah kata dia tu. Selama ini buaya di sana tak pernah menutup periuk nasi nelayan2 sungai tapi manusia sendiri yang membuat onar. Sudah pastinya eko-sistem di sungai Timun telah terjejas dan ini akan mengambil masa untuk kembali pulih.

Oleh itu buat masa ini aku terpaksa menukar lokasi pancingan di Kuala Lukut pula. Biasanya aku akan menyewa bot fiber di jeti koperasi dan membawa enjin sendiri yang dipinjam dari bapa saudara aku. Setakat ini pancingan di sana juga tidak menghampakan.

Bulan lepas aku juga ada ke Kelong Mamod, di Lukut. Nati lah aku ceritakan pengalaman menghadapi ribut ketika itu. Dengarnya kelong Nazri di Bagan Lalang telah roboh bulan lepas?

Minggu lepas aku menyertai trip memburu tenggiri di perairan Sedili. Trip 2D1N ini boleh dikatakan berjaya kerana team kami berjaya menewaskan 13 ekor tenggiri. Gambar2 belum sempat di upload lagi. Hujung minggu ni aku akan kerja overtime untuk update cerita2 pancingan buat kenangan di blog ini dan juga sumber rujukan pada sesiapa yang berminat untuk membaca blog pancing aku yang tidak selalu dikemas kini ini. Maklum lah, menulis di sini tidak bergaji, itu yang lambat aje aku nak update cerita kat sini.

Anyway, buat pembaca setia blog aku ni (eh, ada ke pembaca setia? hehehe......nantikan cerita dunia pancingan aku ya dan teruskan menjadikan blog aku ni sumber rujukan dan bahan bacaan bersama. Semoga segala cerita, pengalaman dan sedikit ilmu yang aku kongsikan di sini akan memberi manafaat kepada semua.