Sunday, 23 December 2012

Trip Pulau Jarak - 18 hingga 20 Disember

Minggu lepas akhirnya aku berjaya mengikuti trip memancing di perairan Pulau Jarak. Jumlah pemancing 10 orang, dan pakej 3D2N = RM450 per pax. Bot yang kami naiki memang bersih dan selesa. Makan tgh hari & makan malam pun sedap. Cuma pada aku, hasil agak kurang memuaskan. Antara hasil yang dapat aku naikkan ialah jenahak, mayung & siakap batu @ pecah periuk. Aku ternampak siakap batu berenang hampir dengan permukaan. Cepat-cepat aku cangkukkan hirisan ikan segar & layangkan pancing ke arah siakap tu. Apa lagi, terus dihenjutnya pancing aku tu.

Malas nak cerita panjang, layan aje lah gambar2 yang sempat aku tangkap.

Jenahak yang membaham umpan sotong

Awak2 bot dengan hasil tangkapannya, ibu kerapu

Rizal dengan jenahak yang merenggut umpannya

Aku sempat posing dengan ibu kerapu yang dipancing awak2

Keseluruhan hasil tangkapan kami - jenahak, mayong, tenggiri, pecah periuk, ikan2 apollo
 Kesimpulannya, jika nak menduga perairan Jarak, kenalah buat preparation yang betul. Batu ladung sekurang-kurangnya satu kilo beratnya. Ini kerana arus yang deras dengan kedalaman lebih 80 kaki. Kalau tak, berlaku lah fenomena tarik menarik antara sesama rakan pancing lain, kes tali terbelit sesama sendiri.

Mayong dimasak asam pedas campur sawi jeruk & daun kesum, terbaek...

Tuesday, 11 December 2012

Jeti Pasir Panjang

Hari : Isnin, 3 Disember 2012
Masa : 6 petang ~ 9 malam

Aku ingat harini nak repeat mancing di Jeti Awal tapi hujan pulak bila aku sampai di kawasan Pasir Panjang. Aku pun lepak dulu minum nescafe panas di medan ikan bakar. Memandangkan hujan tiada tanda akan berhenti maka aku buat keputusan untuk memancing di jeti berdekatan saja. Di hujungjeti tu ada bumbung so bolehlah berteduh daripada hujan.

Kawasan pantai nya agak berlumpur maka banyaklah ikan duri dan sesirat yang memakan umpan. Aku dapatlah 2 ekor gelama dan my other half dapat seekor ketuka dan seekor malung yang mulanya disangka sesirat. Semua hasil pancingan dah pun selamat dijadikan lauk makan malam.


Safety first - kena buang dulu duri pada ekornya

Ketuka sebesar tapak tangan
Ketuka dan malung dilumur garam & black pepper, panggang atas kuali & perah lemon, makan dengan kicap - sedap la
Udang baki umpan pun dijadikan perencah sayur kacang panjang goreng

Pari di Jeti Awaluddin

Hari : Ahad, 2 Disember 2012
Masa : 8 malam

Agak lama aku tak memancing di jeti Awal ni. Memandangkan lokasinya yang agak jauh berbanding Lukut, itu yang aku malas nak ke sini. Bulan lepas adalah aku memancing kat jeti Lukut dan seperti yang dijangka, memang takde hasil kat sana. Itu yang aku ke jeti Awal kali ni sebab biasanya kat sini memang tak menghampakan.

Aku cuma bawa umpan udang pasar. Hasilnya aku dapat lah gelama papan yang boleh kenyang utk seorang makan dan beberapa ekor gelama. Ada jugak anak-anak duri mengacau umpan.


Mula-mula cuma aku berdua je yang mancing. Pastu datang sorang brother ni dengan set pancingan yang boleh tahan banyak juga. Aku pun meringankan mulut bersembang2 dengan dia. Brother ni dah biasa juga memancing di jeti ni. Dia pun biasa memancing sorang2 kat area Pulau Asam tu, jam 1 ke 2 pagi. Hardcore rupanya brother ni. Aku pun tanya lah dia "Bang, kat sini ada pari ke?" Brother tu jawab, " Ada, tapi dah lama tak dengar orang naik pari kat sini".

Brother tu bawak umpan ikan selangat yang dijalanya. Ikan tu dah mati tapi nampak berkilat2 dalam gelap malam. Brother ni pun cangkukkan ikan pada mata kail dan dengan menggunakan joran 10 ke 12 kaki,  umpan dilempar jauh ke tengah di sebelah kanan aku. Kat jeti ni open aje, takde tiang atau tembok pun. So brother ni baringkan joran di di sebelah aku dan pergi setting pancing dia yang lain pulak.

Tak sampai 10 minit lepas tu, aku perasan joran brother ni macam tengah diusik ikan. Baru je aku nak panggil brother tu untuk check joran dia tiba-tiba berdesit nyaring spoolnya berpusing sebab tali keluar dengan laju bila ikan sudah mengena. Teruslah berlari brother tu mendapatkan pancingnya dan bermula aksi pertarungan yang agak sengit. Aku dah dapat agak masa ni yang pari sudah terkena.

Ini je yang aku sempat tangkap gambar aksi brother tu melayan pari

Tercungap juga dibuatnya bila menaikkan pari sebesar ini

Aku pun sama nak posing dengan pari PD
Aku agak lebih 10kg berat pari ni. First time la aku tengok orang menaikkan pari di PD. Terjawab sudah pertanyaanku kepada Brother tadi. Memang ada pari di perairan Pasir Panjang ni. Selepas Brother ni menaikkan pari, hujan mulai turun dengan agak lebat. Aku tak tunggu lama, terus berkemas dan pergi makan di medan selera ikan bakar Pasir Panjang.

Our Underwater World

Hari Sabtu baru-baru ni aku sempat dipaksa ke Big Bad Wolf Sale di Mines. Jalan punya lah sesak nak ke sana. Rupa-rupanya orang Malaysia ni memang suka Sale. Dalam lebih 3 juta buku di sana tu aku cuma minat nak cari buku pasal ikan laut. Nampaknya cuma buku ni je yang aku jumpa mengenai ikan lautan. Memandangkan harganya pun cuma RM12, tanpa fikir panjang lah aku ambik dan pergi bayar.



Buku ni kulit tebal dengan kualiti kertas yang baik serta gambar-gambar coral yang cantik memang menarik untuk dibaca. Bolehlah untuk dibelek2 bagi menambah ilmu serta pengetahuan mengenai dunia dasar lautan.

Udang galah goreng kunyit

Aku pernah buat entry pasal udang galah Sg Timun. Hujung minggu haritu aku ke Sg Timun lagi. Kali ni bukan memancing tapi menghadiri kenduri kahwin anak lelaki Pak Akob. Sebelum hari kenduri tu aku sempat pau udang galah kat anaknya, Rahmat. Udang tengah banyak katanya. Lagipun diorang buat stock frozen untuk lauk pengantin; udang panjat nenas. Kalau nak merasa lauk pengantin, memang tak dapatlah sebab aku bukannya wakil rombongan pengantin perempuan.

Rahmat dengan murah hati beri aku beberapa ekor udang galah bersaiz sederhana. Lebih 10 ekor jugak sebenarnya. So, aku buat ratah aje lah. Masak goreng kunyit campur kacang panjang. Puas hati meratah udang galah Sg Timun.

Jemput makan......

Thursday, 29 November 2012

Hotboys

Apasal pulak tetiba tajuk entry aku kali ni Hotboys? Adakah aku hotboys yang dimaksudkan tu? Aku ni dah ketegori pokcik2, tak sesuai la nak mengaku diri ni sebagai hotboys. Sebenarnya nama Hotboys adalah nama kelong yang aku pergi minggu lepas di Tanjung Leman. Tahun lepas aku ada buat entry pasal memancing di Kelong Ayu. Kelong Hotboys ni pun letaknya berhampiran Kelong Ayu jugak, iaitu salah sebuah daripada 4 biji kelong yang terletak di taman marin Pulau Sibu.

Aku tiba di jeti Tanjung Leman jam 9 pagi Ahad, 25 Nov dan macam biasa parking berhampiran restoran KFC di situ. Dah ramai yang menunggu untuk naik bot di jeti rupanya. Aku segera bergegas membayar fee taman negara sebanyak RM5 seorang.Tiba2 terdengar Pakcik Security buat announcement, "Hotboys, Hotboys!". Apa lagi, meluru lah aku ke pagar jeti untuk memaklumkan yang aku nak ke Kelong Hotboys. Rupanya pagi tu cuma aku berdua dengan my other half je yang akan ke Hotboys. Penumpang lain masing2 menuju ke Kelong Ah Yu, Kelong Ah Ngan & juga Kelong Ah Fatt.

Feri yang membawa kami agak besar, mungkin boleh memuatkan seramai 80 ~ 100 penumpang. Rata2 penumpang adalah warga Singapura. Kelong di perairan sini memang popular di kalangan warga kota Singa. Mungkin harga yang berpatutan, juga makanan yang sedap menjadi faktor penarik bagi mereka. Dengan bayaran RM155 bagi pakej 2D1N, kami dihidangkan lunch 2x, dinner, supper, breakfast & free flow of biskut tawar, hot water, plain water, hot coffee.

Menu makan tengahari/ malam kami antaranya adalah ikan bawal goreng, ikan bayan masak asam, butter prawn, udang gorang tepung, sayur kobis goreng, sup ayam, sup lobak putih, kari ayam, bebola sotong sambal, crawfish (macam udang/ lobster), ketam blackpepper, ketam stim, tofu telur stim. Memang terbaik la, semua seafood segar dari laut. Ketam & ikan ditangkap sendiri oleh crew kelong menggunakan bubu besar yang dipasang di bawah kelong. Tukang masak & krew di atas kelong ni semuanya berbangsa Cina tapi bekalan bahan mentah dihantar oleh pembekal Melayu.

Aku tak bawak kamera pulak masa ni, cuma gunakan kamera hp saja, itu yang kurang ambil gambar.

Aku di dalam feri yang menghampiri Kelong Hotboys

Inilah "resort" penginapan kami untuk 2 hari 1 Malam

Sejenis ikan karang yang aku kurang pasti namanya

Masa ni agak besar ikan yang cuba melarikan umpan tapi rupanya ikan "selipar Bata" yang nasib baik terlucut sebelum sempat dinaikkan

Antara hasil yang diperolehi semasa memancing pada petang Ahad, iaitu Bayan
Sepanjang petang Ahad, banyak juga hasil yang dikumpul, hampir penuh tong merah yang biasa aku bawak untuk trip memancing. Kebyakan hasil adalah ikan tambak, 2 ekor anak bayan, ikan kunyit tapi semuanya saiz sebesar tapak tangan la.

Maghrib dah mulai hujan, dan berpanjangan hingga ke tengah malam. Waktu malam kami menonton perlawanan Piala AFF Malaysia menentang Singapura. Bila Singapore dah leading 2-0, aku terus keluar semula ke tepi kelong untuk memancing walaupun hujan masih belum berhenti. Malangnya tiada seekor ikan pun yang sudi merenggut umpan. Aku cuma menggunakan umpan udang kopek yang dibeli sendiri manakala umpan sotong beku disediakan oleh pihak kelong.

Memandangkan tiada hasil & juga hujan yang tiada tanda berhenti, aku mengambil keputusan untuk merehatkan diri dan bercadang bangun awal pagi untuk sambung memancing. Tempat tidur memang selesa dengan tilam, bantal, cadar & selimut baru juga industrial fan yang besar, so nyaman aje waktu tidur.

Bila terjaga jam 4:30 pagi, aku lihat ada crew yang sedang memancing selar. Memang beribu2 ekor selar ada di bawah kelong tapi apollo yang ku hulur cuma lekat seekor dua selar. Crew kelong menggunakan mata kail halus dan dilayangkan sahaja atas air, terus disambar selar. Aku ni sampai naik lenguh tangan menghenjut apollo, takde lekat pun dengan selar. Nasib baik krew kelong tu sedekahkan hasil pancingan dia kat aku, dapatlah aku merasa bawak balik selar, ada lebih 10 ekor juga yang kasar2 saiznya.

Sepanjang pagi itu aku beralih2 beberapa tempat dan berjaya mendaratkan tambak lagi. Malangnya kali ni tak ada ikan bersaiz kasar seperti barracuda, ebek, GT atau pari. Satu lagi group dari Singapura ku lihat memancing todak dengan berumpankan ikan hidup.Banyak juga todak yang berjaya mereka tewaskan.

Lebih kurang jam 1:30 petang, kami bergerak meninggalkan Kelong Hotboys menaiki bot laju dan tiba di jeti dalam masa 40 minit. Bila aku tengok semula hasil pancingan, banyak juga rupanya, mungkin lebih 15 kg. Bagaimana pun, aku akan rancang lagi trip ke Hotboys semasa musim monsun yang bakal tiba bulan depan. Dengar ceritanya masa monsun lah ikan2 besar semua menghampiri kelong, air laut menjadi kurang jernih & ikan selar sangat mudah menyambar apollo.

Monday, 17 September 2012

Udang galah Sg Timun

Wah, sudah lebih 3 bulan rupanya aku tak update satu-satunya blog kesayangan aku ni. Bukan lah bermakna sudah lebih 3 bulan aku gantung pancing. Aktiviti memancing masih berjalan macam biasa, cuma tak ditulis dalam blog ni. Sekarang ni, kalau takat memancing kecil-kecilan memang aku akan ke Sg Timun. So, entry kali ni aku nak cerita pasal udang galah Sg Timun.

Kat N9 ni, rata-rata penggemar udang galah pasti tahu mana nak dapatkan udang galah terbaik dari Sg Timun. Pada yang tak tahu mana letaknya Sg Timun ni bolehlah cari kat google map ya. Pekan berhampiran adalah Linggi dan juga Lubuk Cina.

Betapa segarnya udang galah yang baru dinaikkan dari Sg Timun
Terliur tak tengok udang galah kat atas tu? Udang segar berharga RM50~RM60 sekilo bergantung kepada saiz. Memang berbaloi2 makan udang galah segar Sg Timun...Best In The World....

Siapa kata udang galah ni mahal? Kalau korang nak lagi mahal, pergilah makan kat Restoran Nelayan, Seremban tu. Seekor udang galah dalam berat 200gm masak lemak cili api RM30 sahaja.

Nak tahu kenapa udang ni mahal? Cubalah korang tangkap sendiri. Baru tahu seksa tak seksa nak dapatkan sekilo udang.

Nelayan sungai yang gigih menebar jala mengharapkan hasil untuk dibawa pulang bagi menyara keluarga

Pak Akob - Warga emas yang kaya pengalaman masih gagah mengerah kudrat

Si sepit biru yang dicari-cari sebagai salah satu punca rezeki di sini
So kepada seiapa yang nak rasakan sendiri kelazatan si sepit biru Sg Timun, boleh lah berkunjung ke sana. Terpulang sama ada ingin menyewa bot untuk merasai sendiri pengalaman memancing si sepit biru atau bawa saja wang yang mencukupi dan tunggu di tepi jeti nelayan Sg Timun untuk membeli hasil dari nelayan sungai di sana. Kalau tak mahu pulang dengan tangan kosong, boleh saja buat tempahan dahulu dengan Pak Akob di sana.

Tuesday, 1 May 2012

Memancing santai di Kelong Raja - Part 2

Sambungan kisah dari Part 1...

Keesokkan paginya kami dihidangkan dengan sarapan kopi 'o' panas dan mee goreng. Ini tak termasuk dalam pakej sewa kelong ni ya. Kalau nak makan sedap macam ni, kenalah masak sendiri. Kalau malas tu, makan ajelah roti kosong atau maggi.


Bila perut dah kenyang, barulah semangat nak memancing semula.

Orang lain pancing ikan, tapi Giri pancing ketam. Besar jugak ketam yang dia dapat ni, masak ketam bercili lah best ni.

Aku pulak layan main apollo la. Banyak jugak hasil yang kami dapat. Ikan hidup ni aku ambik buat umpan tapi takde rezeki kali ni, takde strike dari ikan besar nampaknya.

Pagi tu geng pemancing dari kelong sebelah datang singgah ke kelong kami. Aku sempat berposing dengan hasil pancingan mereka iaitu ikan siakap batu. Nampaknya mereka pun kurang mendapat hasil lumayan di kelong sana.
Inilah hasil pancingan kami di Kelong Raja. Gambar ada masalah teknikal sikit...kamera dah mula buat hal nampaknya....  Hasil: gemang, tanda, senangin, malong, todak, ketuka, gelama, gerut-gerut, ikan apollo, ketam

Menjelang tengahari kami pun berangkat pulang dengan tekad yang kami akan kembali semula ke sini bila ada rezeki dan masa yang bersesuaian nanti.................

-The End-

Memancing santai di Kelong Raja - Part 1

Sabtu 31 Mac jam 5 petang, aku tiba di hadapan satu-satunya kedai pancing di kawasan Lukut. Memang dah set dengan Jijoi, Nazi, Ashok & Giri untuk bertemu di situ. Masing-masing baru first time nak mencuba memancing di Kelong Raja ni. So, agak excited lah semuanya.

Setibanya kami di jeti, air masih surut. Menurut boatman, tiada masalah untuk keluar ke laut walaupun air masih surut. Kami pun mulalah memunggah naik barang2 yang dibawa ke atas bot. Bot ini perlu keluar lebih kurang 1km mengharung anak sungai yang sempit sebelum keluar ke laut Selat Melaka.

Kelong Raja ni ada 2 buah. Sebuah betul-betul menghadap Jimah Power plant dan sebuah lagi agak jauh dari power plant tersebut. Mr Raja memberitahu yang agak kurang sesuai memancing di kelongnya masa air besar. Ini kerana ketika itu arus akan membawa air panas dari power plant menyebabkan ikan2 menjauhi kelongnya. Masa kami pergi ni consider air tak besar sangat. Harap2 adalah hasil untuk kami bawa balik nanti.

Baru saja keluar ke kawasan pantai, tiba-tiba bot terhenti tak boleh bergerak ke hadapan. Rupa-rupanya tersangkut dalam lumpur sebab air masih cetek. Lebih sejam juga kami menunggu untuk air pasang sedikit. Akhirnya Jijoi dan Ashok turun menolong Mr Raja dan pembantunya Appu untuk menolak bot. Memang tak dalam pun air masa ni.

Terima kasih pada Ashok dan Jijoi yang sanggup turun menolak bot
Dah dekat senja baru kami tiba di kelong ni. Kelong ni ada 2 bilik, 1 kawasan dapur dan 1 toilet kayu. Kelong ni boleh memuatkan sehingga 15 orang kata Mr Raja lah tapi kitorang 6 orang pun dah rasa penuh pancing kelliling kelong. Kami dapat kelong yang betul-betul sebelah Jimah power plant. Kelong satu lagi pun dah ada geng pemancing dari KL yang dah sampai lebih awal.


Bila selesai saja memunggah barang, masing-masing terus set-up pancing. Mana taknya, dah tak sabar nak menaikkan ikan di sini. Apa-apa hal pun, aku layankan nasik dulu. Maklum la dah kebulur rasanya perut ni. Nasib baik dah siap bawak nasi, kari ikan barracuda hasil pancingan Jijoi dengan sambal sardin. Masing-masing khusyuk mengadap nasik pulak.

Lepas makan, apa lagi masing-masing menunggu ikan makan lah pulak. Lebih kurang jam 8 malam, tiba-tiba joran aku melendut. Wah, agak kasar rasanya ikan yang merenggut umpan umpun-umpun ni. Akhirnya aku berjaya menaikkan seekor gemang yang lebih kurang setengah kg juga beratnya.


Giri yang lebih excited melihat hasil pertama aku; maklumlah dia yang berasal dari Nepal mana biasa turun ke laut
Sekitar 9 malam, pancing Azizul yang berumpankan udang hidup pula dibaham oleh ikan tanda sebesar tapak tangan. Giri turut tak melepaskan peluang bergambar dengan ikan tanda. Agak2nya inilah pancing yang terjun ke laut malam tu…sadis wooo…baitrunner mahal tu boleh terbang lesap dilarikan ikan.

Bila member dapat ikan, aku pun sama excited la, bagi moral support

 
Giri turut tak melepaskan peluang bergambar dengan anak jenahak ini


Kami juga pasang bento (perangkap ketam), berumpankan ikan kembong. Malam tu dapatlah dalam 4 ke 5 ekor ketam.





Malam tu Nazi juga dapat seekor malong, dan macam biasa Giri yang excited nak bergambar. Mungkin nak hantar gambar ni kat awek dia di Nepal. Malam tu tak banyak sangat hasil yang kami dapat. Jadi, lebih baik layankan mata...tidur lah wei...

Sambungannya di Part 2....



Sunday, 29 April 2012

Masak lemak cili api ikan sungai

Satu lagi masakan berasaskan hasil pancingan aku. Kali ni ikan baung yang dipancing di Sg Timun.


Masak lemak cili api style Negeri Sembilan. Memang pedas berapi & lemak berkrim rasanya. Ditambah pulak dengan petai...pergh...makan dengan nasik panas-panas dan ada ikan kering pulak, memang kena regunya tu. Silalah ya....

Friday, 27 April 2012

Ikan kerapu masak sweet & sour

Hasil pancingan di Pulau Tinggi dimasak sweet & sour. Terbaek katanya, maklum lah hasil pancingan sendiri.


Nak resepi ke? Senang aje masak ni, main campak2 je. Kaedahnya: Bawang besar, bawang putih, halia dihiris2 & ditumis. Bila naik bau, masukkan sos cili, tambah sedikit air. Bila mendidih, masukkan lada capsicum hijau & karot. Bila dah agak layu, masukkan ikan yang dah digoreng garing.Pandai2lah nak tambah gula & garam sebagai perisa.Yang penting, ikan mesti fresh barulah marvellous.

Trip menduga perairan Pulau Tinggi

Lama jugak blog aku ni tak dikemaskini. Untuk mengaktifkan semula posting aku di blog yang dah lama sepi ni, biar aku citer sikit trip bulan lepas ke Pulau Tinggi, Mersing.

Aku cakap banyak pun tak guna, aku tau ramai yang suka tengok gambar aje berbanding dengan nak baca tulisan aku yanng tak seberapa ni. So, kita layankan gambar2 yang sempat aku abadikan semasa trip ni.

Sabtu 10 Mac - Awal pagi dah berkumpul di jeti Tanjung Leman.
Kami bermalam di Tanjuk Laut Resort setelah travel petang Jumaat dari Seremban

Bot yang agak selesa untuk ahli trip kami. Yang penting, ada toilet, senang untuk melepas hajat.


Aku seperti biasa, carik port kat belakang bot; senang sikit nak trolling


Nampak gaya macam mengena tapi takde lah besar mana pun ikannya


Fared dengan tangkapan terbesar pertama hari Sabtu iaitu ketarap@ bayan@ parrot fish. Fared juga mengekalkan rekod tangkapan terberat untuk trip kali ni. Rahmat kat sebelah tu nampak macam pediiih aje....


Rizal yang rileks aje makan mangga sebab boring ikan tak makan pancing lagi


Akhirnya mengena jugak si ketarap ni


Rahmat berjaya juga mendaratkan ketarap ketiga dalam trip ni
 Sebelah petang angin sudah agak kuat. Kami terpaksa berlindung berhampiran pulau kerana ombak sudah semakin tinggi. Bila duduk dekat dengan pulau, tak dapatlah nak memancing sebab ia kawasan taman laut. Nak masak, tong gas pulak tak ada, maka  kami makan aje roti untuk mengalas perut sementara menunggu bot lain bawakkan tong gas. Dah senja baru dapat masak, sedap sangat rasanya makan malam tu sebab masing-masing dah kebulur.

Persediaan memasak makan malam kami. Nasib baik ada awek yang rajin memancing apollo, berlauk juga kami malam tu.
Sayangnya lupa pulak nak ambik gambar makanan yang dah siap dimasak - ikan goreng dan ikan kari tanpa santan.
 Setelah makan kami bergerak untuk mencari port pancingan seterusnya. Malangnya ada sedikit masalah teknikal, bot tak dapat bergerak. maka tersadailah kami lagi selama beberapa jam di situ. Mujur pembantu bot dapat menyelesaikan masalah tersebut. Memandangkan malam tu angin agak kuat, hasil pancingan amat kurang. Bila laut berombak, ikan berlindung di karang dan batu-batu, tak keluar mencari makan. Akhirnya kami cari tempat tidur lah, meluruskan tulang belakang masing-masing. Masa ni periuk belanga terbang berdentam-dentum pun takde saper peduli, syok tidur dibuai ombak laut.

Pagi esoknya kami memancing lagi. Banyak juga kerapu, tambak dan ikan karang sebesar tapak tangan yang dapat dipancing. Setelah matahari tinggi di atas kepala, kami pun mengambil keputusan pulang ke jeti kerana perjalanan kami masih jauh lagi untuk balik ke seremban.
 

Antara hasil yang berjaya dibawa pulang dan dibahagi-bahagikan sesama ahli

Alhamdulillah, ada juga sedikit hasil yang dapat dibuat lauk. Rata-rata yang ke laut haritu memang kurang hasil pancingannya. Mungkin sebab angin kuat dan laut agak bergelora. Ada juga bot yang berjaya memancing ikan merah katanya. Bukan rezeki kami agaknya untuk merasa memancing ikan merah. Next trip dah pun dirancang oleh Rizal untuk ke Kuala Sedili bulan Jun nanti.